Langkau ke kandungan utama
Hearing Partners

Segalanya Tentang Kehilangan Pendengaran: Jenis, Punca, Tanda dan Rawatan

10 min baca
Diterbitkan 30 Jul 2024 / Kemas kini terakhir 15 Aug 2026
Disemak oleh Megat Ikmal
Serba-serbi kehilangan pendengaran

Masalah kehilangan pendengaran adalah suatu keadaan yang menjejaskan jutaan orang di seluruh dunia. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, sekurang-kurangnya 21.57% daripada populasi penduduk mengalami masalah pendengaran1.

Biasanya dikategorikan sama ada sebagai kongenital ataupun diperoleh kemudian, keadaan ini boleh menjadi semakin melarat atau terjadi daripada sejak lahir. Walaupun masalah hilang pendengaran kongenital bersifat kekal, masalah hilang pendengaran yang diperoleh boleh jadi kekal atau bersifat sementara.

Hilang pendengaran sementara boleh terjadi akibat daripada tahi telinga yang tersumbat atau jangkitan pada telinga tengah. Ia boleh sembuh secara sendiri atau memerlukan rawatan untuk menangani punca di sebaliknya. Manakala, kehilangan pendengaran kekal pula tidak dapat diubati kerana tiada rawatan ubat-ubatan yang berkesan untuk memulihkan pendengaran tersebut.

Memahami perbezaan antara jenis-jenis kehilangan pendengaran ini adalah penting untuk menguruskan kesan-kesannya dan mendapatkan kaedah rawatan yang bersesuaian. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut.

Perkara Penting Untuk Difahami

  • Kehilangan pendengaran adalah suatu keupayaan yang semakin berkurangan dalam mendengar bunyi secara jelas dan boleh menjejaskan sebelah atau kedua-dua telinga dan ia boleh melarat secara beransur atau tiba-tiba.
  • Tiga jenis masalah kehilangan pendengaran yang utama adalah sensorineural, konduktif dan gabungan di mana ia bergantung pada bahagian telinga mana yang terjejas.
  • Punca biasa kepada masalah pendengaran termasuklah pendedahan berpanjangan pada bunyi bising, penuaan, kerosakan dalam telinga dan pengumpulan tahi telinga.
  • Bercakap dengan kuat, sukar untuk mendengar dalam persekitaran yang bising dan sering meminta orang lain untuk mengulangi percakapan mereka boleh menjadi tanda masalah pendengaran di kalangan orang dewasa.
  • Kehilangan pendengaran mempunyai tahap keterukan iaitu daripada tahap ringan ke tahap sangat teruk.
  • Pilihan pengurusan dan rawatan untuk masalah hilang pendengaran termasuklah pencucian tahi telinga, alat bantuan pendengaran, implan koklear, pembedahan atau ubat-ubatan bergantung pada puncanya.

Apakah itu Kehilangan Pendengaran?

Kehilangan pendengaran adalah kemampuan yang berkurangan dalam mendengar bunyi secara jelas atau pada tahap normal. Ia boleh menjejaskan sebelah telinga (hilang pendengaran unilateral) atau kedua-dua telinga (kehilangan pendengaran bilateral) dan ia boleh terjadi secara beransur-ansur atau secara tiba-tiba. Masalah hilang pendengaran menjadikan seseorang sukar untuk mengikuti perbualan, terutamanya dalam persekitaran yang bising dan boleh menimbulkan salah faham atau kelesuan mendengar.

Apakah Jenis-Jenis Hilang Pendengaran?

Terdapat tiga jenis utama hilang pendengaran, setiap satunya berkaitan dengan kerosakan pada bahagian telinga yang berbeza.

Kehilangan pendengaran sensorineural

Jenis hilang pendengaran yang paling biasa ialah kehilangan pendengaran sensorineural, yang boleh terjadi sejak lahir (kongenital) atau diperolehi kemudian dalam hidupnya. Dengan ciri kerosakan pada telinga dalam (koklea) atau saraf yang berkaitan, jenis kehilangan pendengaran ini biasanya membawa kepada kerosakan kekal. Individu yang mengalami hilang pendengaran sensorineural sering mendengar bunyi secara tidak jelas atau herot-berot dan bunyinya mungkin kedengaran perlahan.

Kehilangan pendengaran konduktif

Hilang pendengaran konduktif terjadi apabila kerosakan atau halangan pada telinga luar atau tengah mengganggu penghantaran gelombang bunyi ke bahagian telinga dalam. Gangguan pada aliran bunyi ini menyebabkan bunyi kedengaran lebih perlahan daripada biasa. Tidak seperti masalah hilang pendengaran sensorineural, hilang pendengaran konduktif boleh dirawat melalui pembedahan atau ubat-ubatan untuk menangani punca pada telinga luar atau tengah.

Hilang pendengaran gabungan

Kerosakan pada telinga tengah dan dalam boleh menyebabkan kehilangan pendengaran gabungan, iaitu kombinasi hilang pendengaran sensorineural dan konduktif. Keadaan ini boleh berpunca daripada penyebab kedua-dua masalah pendengaran. Rawatan untuk keadaan ini bergantung pada proses mengenal pasti dan menangani faktor penyumbangnya yang tertentu.

Apakah Punca Kehilangan Pendengaran?

Punca-punca kepada masalah pendengaran bergantung pada jenis diagnosis kehilangan pendengaran anda.

Kehilangan pendengaran sensorineural

Kehilangan pendengaran konduktif

Penuaan (presbikusis)
Pendedahan berpanjangan pada bunyi bising yang kuat (hilang pendengaran akibat bunyi bising)
Penyakit seperti meningitis, demam campak dan penyakit Meniere
Masalah genetik seperti Sindrom Waardenburg

Saluran telinga luar
Halangan dalam saluran telinga disebabkan oleh tahi telinga atau objek asing
Jangkitan pada saluran telinga (contohnya telinga perenang)
Pertumbuhan tulang dalam saluran (eksostosis atau telinga peluncur)
Kecederaan ketika lahir

Telinga tengah
Jangkitan pada telinga tengah
Pengumpulan cecair (telinga gam) – biasa terjadi pada kanak-kanak
Gegendang telinga pecah yang berpanjangan
Kerosakan pada tulang kecil yang mengalirkan bunyi seperti otosklerosis
Ketumbuhan tidak berbahaya dalam telinga (kholesteatoma)

Apakah Tanda-Tanda Biasa Hilang Pendengaran?

Simptom kehilangan pendengaran boleh kelihatan pada tahap berbeza dan juga mungkin sedikit sukar untuk dikesan. Tanda-tanda berikut adalah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dewasa

Kanak-kanak

Bayi

Bercakap dengan kuat
Sukar mendengar dalam persekitaran bising (contohnya restoran, bilik mesyuarat yang sesak)
Sering meminta orang lain mengulangi percakapan mereka
Menonton TV dengan bunyi yang kuat
Mengalami tinitus (berdesing dalam telinga)
Hanya dapat mendengar telefon apabila ianya berhampiran
Sukar mendengar dalam perbualan telefon
Sukar mendengar suara wanita dan kanak kanak

Sukar mengikuti arahan
Sering meminta orang lain mengulangi percakapan mereka
Pertuturan lambat atau tidak jelas
Menonton TV dengan bunyi yang kuat

Tidak memberi reaksi pada bunyi kuat
Tidak melihat ke arah bunyi yang tidak biasa didengari
Memberi respons dengan memusingkan kepala mereka apabila melihat anda, tetapi tidak apabila dipanggil namanya
Perkembangan pertuturan yang perlahan

Tahap Kehilangan Pendengaran

Tahap kehilangan pendengaran adalah bergantung kepada berapa kuat bunyi diperlukan oleh seseorang itu untuk mendengarnya. Ia diukur dalam unit desibel (dB) dan boleh dibahagikan kepada empat tahap: ringan, sederhana, teruk dan sangat teruk.

  • Ringan (21 – 40 dB)

Bagi mereka yang mengalami hilang pendengaran ringan, sukar untuk mereka mengikuti perbualan dalam persekitaran yang bising. Mereka sukar untuk memahami percakapan dengan jelas, gagal mendengar bunyi yang lebih perlahan dan nuansa pertuturan. 

  • Sederhana (41 – 70 dB)

Individu yang mengalami kehilangan pendengaran sederhana pula mungkin perlu menanganinya dengan menyesuaikan persekitaran mereka seperti menguatkan bunyi televisyen. Komunikasi boleh jadi mencabar pada tahap ini dan rasa terasing mungkin timbul. Tanpa peranti penguat bunyi seperti alat bantuan pendengaran, kualiti hidup seseorang boleh merosot.

  • Teruk (71 – 90 dB)

Pada tahap ini, bunyi persekitaran boleh jadi mencabar untuk didengari walaupun dengan memakai alat bantuan pendengaran. Komunikasi yang berkesan selalunya memerlukan strategi tambahan seperti membaca pergerakan bibir, duduk hampir dengan orang yang bercakap dan memintanya untuk bercakap secara perlahan dan jelas. Taktik-taktik ini boleh meningkatkan pemahaman percakapan dan mengekalkan interaksi yang bermakna walaupun mengalami masalah pendengaran.

  • Sangat Teruk (>90 dB)

Walaupun dengan memakai alat bantuan pendengaran, individu yang mengalami tahap kehilangan pendengaran yang sangat teruk akan sukar untuk mendengar. Mereka perlu sering bergantung pada strategi pertuturan yang sama seperti yang digunakan oleh mereka yang mengalami masalah kehilangan pendengaran tahap teruk.

Cara Mendiagnosis Kehilangan Pendengaran

Doktor Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) atau audiologis akan menjalankan ujian-ujian berikut untuk mendiagnosis masalah pendengaran seseorang.

Pemeriksaan fizikal

Doktor biasanya akan menjalankan pemeriksaan fizikal yang merangkumi pemeriksaan saluran telinga, membran timpanik (gegendang telinga), hidung dan nasofarinks. Selain itu, pemeriksaan neurologi juga mungkin akan dilakukan untuk menilai fungsi saraf yang berkaitan dengan pemprosesan dan penghantaran audio. 

Ujian mendengar

Ujian mendengar atau ujian audiometri akan dijalankan untuk mengenal pasti jenis dan tahap keterukan kehilangan pendengaran. Ujian-ujian yang berbeza akan disyorkan untuk orang dewasa dan juga bayi serta kanak-kanak bergantung pada simptom mereka dan juga pemeriksaan fizikal.

Untuk kes yang disyaki mengalami kehilangan pendengaran konduktif, ujian timpanometri mungkin disarankan untuk menilai fungsi telinga tengah dan integriti gegendang telinga. Ujian-ujian ini penting dalam proses mendiagnosis masalah pendengaran secara tepat dan memberikan strategi rawatan yang betul.

Pengimejan radiologi

Dalam sesetengah kes, teknik pengimejan radiologi seperti Tomografi Berkomputer (CT), Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) atau imbasan lain mungkin akan disyorkan untuk mengesan neuroma akustik, iaitu satu ketumbuhan tidak berbahaya yang boleh membawa kepada kehilangan pendengaran.

Jadikan Kesihatan Pendengaran Anda Satu Keutamaan Hari Ini!

Risau tentang pendengaran anda?Jangan tunggu lagi. Ambil langkah pertama demi komunikasi yang lebih jelas dan tempah ujian pendengaran anda sekarang.

Apakah Pilihan Rawatan dan Pengurusan untuk Masalah Pendengaran?

Rawatan atau pengurusan yang berkesan untuk masalah kehilangan pendengaran bergantung pada jenis dan tahap keterukan sesuatu keadaan. Daripada kaedah rawatan mudah seperti membuang tahi telinga sehinggalah penggunaan alat seperti alat bantuan pendengaran, audiologis akan menyesuaikan pelan rawatan bagi memenuhi keperluan pendengaran individu tersebut.

Membuang tahi telinga

Untuk menangani masalah hilang pendengaran konduktif di mana terjadinya pengumpulan tahi telinga, kaedah mencuci tahi telinga menggunakan rawatan irigasi telinga atau penyedutan mikro perlu dilakukan. Ia akan membersihkan sebarang halangan di dalam saluran telinga dan dapat membantu memulihkan pendengaran.

Alat bantuan pendengaran

Alat bantuan pendengaran adalah peranti yang telah direka khas untuk memperbaiki pendengaran individu yang mengalami masalah pendengaran seperti kehilangan pendengaran sensorineural atau konduktif dengan mengesan dan meninggikan bunyi di persekitaran. Ia berkesan untuk pelbagai tahap gangguan pendengaran, dapat meningkatkan kejelasan bunyi dan memberikan pemahaman auditori yang lebih baik.

Implan koklea

Implan koklea adalah peranti canggih yang diletakkan secara pembedahan di bahagian telinga dalam untuk merawat kehilangan pendengaran sensorineural. Peranti ini memintas komponen auditori yang telah rosak untuk merangsang saraf auditori secara terus. Ia boleh dipakai oleh pelbagai golongan usia dan sangat disyorkan untuk mereka yang mengalami kehilangan pendengaran tahap sederhana hingga teruk.

Namun begitu, disebabkan sifatnya yang invasif, prosedur ini hanya dipertimbangkan apabila seseorang itu mendapat manfaat yang terhad daripada pemakaian alat bantu pendengaran dan mempunyai markah kejelasan pertuturan yang rendah.

Ubat-ubatan

Ubat-ubatan seperti krim sapu antibiotik biasanya diberikan bagi masalah jangkitan telinga. Sekiranya penggunaan ubat didapati menjadi punca masalah pendengaran, ia mungkin akan dihentikan atau digantikan dengan kaedah alternatif yang lebih selamat.

Pembedahan

Pembedahan mungkin akan diakukan untuk merawat masalah seperti jangkitan telinga yang berulang, otosklerosis atau gegendang telinga pecah. Setiap prosedur pembedahan memfokuskan pada merawat punca kepada masalah yang sedang dirawat.

Soalan Lazim Tentang Kehilangan Pendengaran

Umur sering dikaitkan dengan masalah pendengaran kerana proses penuaan semula jadi itu sendiri boleh menjejaskan fungsi pendengaran. Namun begitu, hilang pendengaran tidaklah eksklusif hanya untuk orang berusia sahaja dan masih boleh terjadi pada semua golongan umur.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 1 bilion orang dewasa muda terdedah kepada masalah kehilangan pendengaran kekal dan boleh dielak2. Ini terutamanya disebabkan oleh tabiat mendengar yang tidak selamat seperti pendedahan berpanjangan pada bunyi bising yang kuat.

Rujukan

Megat Ikmal

Megat menyaksikan kegembiraan yang tidak terhingga bagi mereka yang mengalami masalah pendengaran apabila mereka diberikan alat bantu pendengaran. Melihat bagaimana perkhidmatan berkaitan pendengaran dapat meningkatkan kualiti hidup orang ramai, ia telah memperdalam lagi tekadnya untuk membina kerjaya dalam bidang audiologi.

Megat Ikmal

Pakar Audiologi Klinikal

Jadualkan Ujian Pendengaran Percuma

Medan wajib ditandakan.

Saya bersetuju untuk dihubungi mengenai temu janji saya.

Cubit atau tatal untuk zum, seret untuk menggerak, Esc untuk menutup

Tempah temu janji